31 Jan 2018

Cagar Baju Besi Untuk Beli Makanan

Ada sebuah keluarga Islam yang terdesak dengan masalah kewangan. Mereka ada meminjam daripada along dan kini hutang masih belum selesai. Suami belum bekerja. Kereta pula akan ditarik kerana tidak berbayar. Sewa rumah juga tidak dapat dilunaskan. Kebetulan ada seorang kenalan memberitahu bahawa pihak gereja berdekatan tempat tinggal ada menawarkan pinjaman. Bolehkah orang Islam meminjam wang dengan pihak gereja? 

Harus meminjam daripada gereja sekiranya tiada unsur riba. Kerana pemiutang tidak disyaratkan beragama Islam.

Rasulullah SAW sendiri pernah menggadaikan baju perangnya kepada seorang Yahudi. Ia menunjukkan hukum harus berurusan dengan orang bukan Islam.

Sayidatina Aisyah r.ha menceritakan ; "Sesungguhnya Nabi pernah membeli makanan daripada seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh dan mencagarkan baju besi baginda." (HR al-Bukhari)

Namun sebaiknya, berusaha terlebih dahulu atau memohon bantuan atau pinjaman di baitulmal yang berdekatan. Ia lebih baik dan mententeramkan jiwa. Semoga segala urusan dipermudahkan oleh Allah SWT. Insya-Allah.

29 Jan 2018

Pinjam Wang Dari Ceti Dan Along


Apakah hukum meminjam wang daripada ceti atau along dan yang seumpama dengannya? Adakah haram jika pinjam wang dari along yang memiliki syarikat berlesen? Mohon penjelasan.

Hukum meminjam wang daripada ceti dan along adalah haram kerana ia adalah pinjaman berbunga walaupun ia sebuah syarikat yang mempunyai lesen.

Dinasihatkan agar janganlah terlibat dengan mana-mana pinjaman ceti atau along yang akhirnya menyusahkan diri sendiri. Sebaliknya, banyak lagi pilihan yang lain seperti pajak gadai Islam atau memohon bantuan baitulmal.

Hindarailah dari pinjaman riba yang selalu menyusahkan kita, apatah lagi sekiranya kita hanya meminjam untuk perkara yang remeh-temeh.

Allah SWT berfirman :

الَّذِينَ يَأْكُلُونَ الرِّبَا لَا يَقُومُونَ إِلَّا كَمَا يَقُومُ الَّذِي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيْطَانُ مِنَ الْمَسِّ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا إِنَّمَا الْبَيْعُ مِثْلُ الرِّبَا ۗ وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا ۚ فَمَنْ جَاءَهُ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّهِ فَانْتَهَىٰ فَلَهُ مَا سَلَفَ وَأَمْرُهُ إِلَى اللَّهِ ۖ وَمَنْ عَادَ فَأُولَٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Maksudnya :"Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan), dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang kembali (mengambil riba), maka orang ituadalah penghuni-penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya." (Surah al- Baqarah : 275)

Wallahu a'lam


27 Jan 2018

Isteri Minta Fasakh Suami Ada Aids


Umum sedia maklum bahawa penyakit HIV (aids) amat ditakuti oleh pasangan yang telah berkahwin atau ingin berkahwin. Sekiranya seorang isteri mendapati suaminya mempunyai HIV, adakah dia berhak meminta fasakh?

Secara fiqahnya, si isteri berhak untuk meminta fasakh sekiranya dia mendapati suaminya menghidap HIV. HIV mendatangkan kemudaratan kepada dirinya bahkan ia boleh berjangkit melalui persetubuhan.

Saya berpandangan haram hukumnya bagi seorang suami yang mengetahui bahawa dengan menyetubuhi isterinya akan memberi kemudaratan kepada pasangan, melainkan si isteri sendiri mengizinkannya.

Namun, bagi saya, ia tetap tidak digalakkan meskipun pasangannya itu reda.

Wallahu a'lam

26 Jan 2018

Menikahi Pasangan Ada HIV


Jika salah seorang daripada pasangan yang ingin berkahwin ada HIV (aids), bolehkah mereka berkahwin? Bagaimana pula dengan status perkahwinan tersebut, sah atau sebaliknya? Mohon penjelasan.

Sekiranya pasangan itu reda iaitu salah seorang daripada mereka tahu yang pasangannya menghidap HIV tetapi tetap mahu berkahwin, maka perkahwinan tersebut sah.

Apabila suami atau isteri reda dengan sebarang penyakit yang ada pada pasangannya, maka gugur hak mereka untuk memintak fasakh.

Wallahu a'lam

Waktu Tertentu Untuk Bersedekah


Apakah terdapat waktu tertentu atau lokasi tertentu yang berkelebihan untuk melakukan sedekah? Atau sedekah pada bila-bila masa sahaja bila berkemampuan? Mohon penjelasan.

Sedekah konsepnya adalah suatu ibadah mutlaqah, maknanya ia boleh dilakukan pada mana-mana waktu tanpa dikhususkan waktu tertentu. 

Namun ada waktu yang kita digalakkan bersedekah seperti di dalam bulan Ramadan, sedekah masa diri terasa bakhil (kedekut), sedekah barang yang paling kita sayangi atau apabila kita melakukan maksiat. Lantaran sedekah boleh memadamkan kemurkaan Allah SWT.

Wallahu a'lam

25 Jan 2018

Maksud Berkabung


Apakah yang dimaksudkan dengan berkabung dan hukumnya? Apabila seseorang itu meninggal dunia seperti contoh suami, isterinya akan berkabung. Bagaimana cara berkabung yang sebaik-baiknya bagi seorang isteri

Berkabung dalam bahawa Arab disebut ihdad. Ia perkara yang diwajibkan kepada wanita yang beriddah (akibat kematian suami) iaitu dengan menanggalkan perhiasan seperti cincin, gelang dan sebagainya pada diri, tidak memakai pakaian yang berwarna-warni dan wangian.

Adapun menghias rumah, bilik atau katil adalah tidak mengapa kerana berkabung akibat kematian suami adalah anggota badan sahaja.

Wallahu a'lam

Pinggang Kamu Seperti Pinggang Ibuku


Apakah yang dimaksudkan dengan zihar? Adakah dengan berkata kepada isteri, "kamu seperti ibuku", itu sebagai zihar? Mohon penjelasan.

Zihar adalah lafaz yang memberi makna pengharaman isteri kepada diri suami dengan lafaz seperti, "Pinggang kamu seperti pinggang ibuku."

Lafaz ini mempunyai makna yang menunjukkan kepada pengharaman isterinya kepada dirinya, Ia digunakan oleh orang Arab zaman jahiliyyah untuk menceraikan isteri mereka.

Adapun yang disebut oleh masyarakat Melayu seperti, "Kamu seperti ibuku". Ia bukanlah zihar kerana lafaz sedemikian tidak ada unsur pengharaman dalam budaya kita. Dan lafaz itu sebenarnya bermaksud pujian ke atas isteri.

Wallahu a'lam

Wanita Beriddah Tidak Layak Dapat Nafkah


Ingin tahu, bila dan dalam keadaan bagaimanakah wanita yang dalam iddah tidak berhak mendapatkan nafkah? Wanita tersebut kematian suami atau diceraikan. 

Wanita yang dalam keadaan iddah tidak layak untuk mendapatkan nafkah daripada bekas suaminya dalam tiga keadaan iaitu ;

1 - Sekiranya iddah itu berpunca daripada kematian, walaupun dalam keadaan hamil. Ini kerana nafkah menjadi haknya disebabkan wujud pertalian suami isteri, namun pertalian mereka sudah tiada dengan kematian suaminya. Namun, wanita tersebut dibekalkan dengan peninggalan faraid.

2 - Wanita uang beriddah kerana berpisah dengan kehendaknya sendiri seperti khuluk (tebus talak).

3 - Wanita yang beriddah disebabkan perkahwinan yang tidak sah.

Wallahu a'lam

24 Jan 2018

Ibadah Isteri Yang Kematian Suami


Ada wanita yang hendak menunaikan ibadah umrah atau haji, namun ditimpa musibah dengan kematian suaminya, adakah si isteri dibolehkan untuk meneruskan ibadah tersebut? Mohon penjelasan.

Dalam situasi sebegini, terdapat dua keadaan yang berbeza hukum mengikut pandangan ulama'

1 - Sekiranya kematian suami itu berlaku selepas berlaku musafir, misalnya ketika kapal terbang sudah berlepas, maka si isteri boleh meneruskan ibadat umrah atau hajinya itu.

2 - Sekiranya kematian suami itu berlaku sebelum berangkat atau sebelum penerbangan berlepas, maka wajib si isteri pulang ke rumahnya untuk menunaikan iddah.

Dalam isu ini, elok sekiranya pihak pengurusan haji atau umrah berkerjasama membantu wanita yang diuji sebegini dengan memberi peluang kepadanya untuk menunaikan haji atau umrah menggunakan tiket yang sama. Atau, setidaknya mengenakan denda yang tidak tinggi kerana mereka terhalang daripada menunaikan ibadah tersebut demi melaksanakan perintah Allah SWT iaitu beriddah.

Wallahu a'lam